Umrah : Masjid Hudaibiyah - Ziarah Luar Kota Mekah (Part 4)

February 18, 2013

Sambungan daripada entry sebelumnya.


Hari Kelapan : 21 Jun 2011

Dari ladang unta kami menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Hudaibiyah. Masjid ini terletak kira-kira 26km dari kota Mekah dan bersempadan dengan tanah haram. Ia juga merupakan salah satu di antara lokasi miqat yang sering dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah.

Masih ingat lagi kisah penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah? Sinambungan dari peristiwa tersebut akhirnya dakwah Islam telah berkembang dengan pesat di sana. Pada suatu hari baginda telah bermimpi pergi ke Masjidil Haram bersama para sahabat dengan aman dan tanpa gangguan daripada kaum Quraisy. Melalui mimpi tersebut turunnya wahyu Allah SWT dalam ayat 27, surah Al-Fath yang bermaksud :

"Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram, insya Allah (pada masa yang ditentukanNya), dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya faedah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)".

Baginda pun mengarahkan kaum Muhajirin dan Ansar supaya bersiap-sedia ke Mekah. Tujuan mereka bukanlah untuk berperang tapi untuk menunaikan umrah. Disebabkan itu mereka pergi tanpa membawa sebarang kelengkapan perang kecuali untuk mempertahankan diri dari serangan perompak.

#1 - Masjid Hudaibiyah yang baru
Sewaktu menghampiri kawasan bernama Hudaibiyah rombongan baginda telah dihalang dan Uthman Bin Affan telah dihantar sebagai wakil untuk menerangkan tujuan kedatangan mereka ke situ. Semasa menunggu kepulangan Uthman mereka mendapat khabar angin beliau telah dibunuh dan berita tersebut telah menimbulkan kemarahan para sahabat dan kaum muslimin yang lain. Akhirnya satu "Ba'iah Al-Ridhwan" iaitu perjanjian taat setia oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW telah dilakukan di bawah sepohon pokok di tepi sebuah telaga. 

Untuk makluman semua, nama Hudaibiyah sebenarnya berasal dari nama seorang lelaki yang telah menggali telaga di tempat tersebut. Daerah itu kemudian diberikan kepadanya serta dinamakan "Hudaibiyah" (termasuklah telaga tersebut). Berdekatan telaga itu terdapat sepohon pokok yang cukup rendang yang bernama pokok Hadba’. 

Perisitwa Bai'ah Al-Ridhwan ini telah dicatat di dalam surah Al-Fath yang bermaksud "Kemenangan" (Al-Fath).

"Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar" (ayat 10)

"Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya" (ayat 18)

Bai'ah tersebut telah sampai ke pengetahuan orang Quraisy dan mereka berasa gentar lalu memulangkan semula Saidina Uthman. Mereka telah menghantar wakil iaitu Suhail Bin Amru untuk berunding dengan Rasulullah SAW. Memandangkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Quraisy berat sebelah maka Saidina Umar Al-Khattab telah mempertikaikannya. Tapi oleh kerana baginda terlebih dahulu melihat kebaikannya melalui wahyu yang diturunkan dalam mimpi, maka perundingan tersebut telah dipersetujui.

Antara perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Hudaibiyah adalah :
1 - Gencatan senjata selama 10 tahun
2 - Kabilah Arab boleh memilih untuk memihak sama ada orang Islam Madinah atau orang Quraisy Mekah
3 - Orang Madinah yang pergi ke Mekah tanpa kebenaran penjaganya tidak perlu dipulangkan
4 - Tapi bagi orang Mekah yang pergi ke Madinah tanpa kebenaran penjaganya perlu dipulangkan semula
5 - Umat Islam hanya boleh mengerjakan umrah pada tahun berikutnya

#2 - bekas tapak Masjid Hudaibiyah yang lama
#3 - kesan runtuhan yang masih kekal

Walau bagaimanapun, perdamaian yang dipersetujui di antara kedua-dua pihak ini bertahan selama 2 tahun sahaja. Orang Quraisy sengaja melanggar isi perjanjian yang pertama dan memberi sokongan kepada Bani Bakar yang berperang dengan Bani Khuza'ah. Mengikut syarat Perjanjian Hudaibiyah gencatan senjata harus dikekalkan selama 10 tahun tetapi orang Quraisy telah mencabulinya. Nabi Muhammad SAW telah bertindak tegas dalam menangani hal tersebut dan menghantar pasukan tentera Islam ke Mekah.

Walaupun perjanjian ini banyak menguntungkan kaum Quraisy tapi dalam tempoh jangka panjang ia juga menguntungkan orang Islam. Ini boleh dilihat apabila umat Islam bebas memasuki kota Mekah tanpa sebarang sekatan dan boleh melakukan umrah pada bila-bila masa. Selain itu dakwah Islam dapat berkembang ke seluruh pelusuk tanah Arab tanpa sebarang halangan. Ini dapat disaksikan dengan pengislaman tokoh panglima Quraisy yang berpengaruh seperti Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-As dan Uthman bin Talhah. Bahkan melalui larangan gencatan senjata selama 10 tahun tersebut baginda dapat berdakwah sehingga kepada pembesar Rom, Raja Habsyah, Raja Mesir dan Raja Parsi.

Demikianlah tertulis dalam ayat 1-3, surah Al-Fath yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya)"

Begitulah serba ringkas kisah di sebalik Perjanjian Hudaibiyah. Untuk memperingati peristiwa tersebut Masjid Hudaibiyah telah dibina di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun masjid itu telah dirobohkan dan digantikan dengan masjid baru (warna putih) yang terletak bersebelahan dengan bekas tapak masjid yang lama. Kesan runtuhan tersebut masih utuh berdiri walaupun peristiwa bersejarah tersebut telah berlalu beribu-ribu tahun lamanya. Subhanallah.

#4 - jemaah tekun mendengar penerangan ustaz
Selesai ustaz menghabiskan ceritanya maka aku dan jemaah yang lain pun beredar memasuki masjid untuk berniat ihram dan menunaikan solat sunat ihram. Oh ye, dalam entry sebelumnya ada orang bertanya pada aku pasal pemakaian semasa program ziarah. Maaf aku terlupa nak jawab soalan tu sebelum ni jadi aku akan jawab di sini. 

Sebenarnya bila setiap kali ada program ziarah aku akan pakai jubah dan selepas berniat ihram barulah aku pakai kain telekung. Tapi disebabkan jubah aku dah cukup labuh jadi aku cuma sarungkan stokin. Sepanjang pemerhatian aku ada jugak jemaah yang terus pakai kain telekung semasa program ziarah. Pada pendapat aku hal pemakaian tak jadi masalah sebab terpulang pada individu dan mengikut keselesaan masing-masing. Disebabkan aku taknak kotorkan kain telekung sebelum berihram jadi aku lebih selesa berjubah semasa program ziarah. Aku harap jawapan yang aku berikan dapat membantu, Insya Allah. 

#5 - peniaga di luar perkarangan masjid
#6 - jemaah sedang melihat barang-barang yang dijual
Selesai berniat ihram dan bersolat sunat, aku keluar dari masjid dan berlegar-legar di kawasan sekitarnya. Pada waktu ini aku bersendirian sebab ahli keluarga yang lain masih lagi di dalam masjid dan belum selesai. Aku perhatikan banyak peniaga-peniaga Arab yang berjualan di luar bangunan masjid dan antara barangan yang didagangkan termasuklah tasbih, kayu sugi, minyak attar dan sebagainya. 

Aku pergi semula ke tapak lama Masjid Hudaibiyah untuk mengambil gambar di kawasan tersebut. Walaupun binaan ini sudah memakan masa beribu-ribu tahun tapi ia kelihatan masih utuh. Aku perhatikan banyak kesan "autograph" telah ditinggalkan di atas batu-batu tersebut dan aku fikir ini mungkin peluang keemasan aku memandangkan tiada sesiapa di situ kecuali aku. Sedang aku meraba-raba mencari pen di dalam beg tiba-tiba ada suara menyapa. 

"Assalamualaikum!"

Serentak itu aku menoleh ke belakang.

"Waalaikumsalam. Err...ustaz!"

Rupa-rupanya Ustaz Zul. Alamak, entah-entah dia nampak aku nak conteng dinding ni tak? Erk!

"Dah selesai berihram?"

"Dah ustaz. Saya siap awal sebab tu saya ke sini sementara tunggu dorang bersiap"

"Oh begitu. Saya nampak awak amik gambar tadi. Nak saya tolong amikkan gambar ke?"

Segannya aku. Nampak sangat orang lain pun perasan aku banyak amik gambar. Huhuhu

"Eh takpe ustaz, saya jarang amik gambar sendiri. Saya lebih suka amik gambar objek dan pemandangan"

"Oh macam tu. Awak amik gambar banyak-banyak ni sebab nak letak dalam blog ke?"

BOM!!! Tiba-tiba rasa off-balance. Macam mana ustaz ni tau aku ada blog??? Tak mungkin. Eh tapi ada gak trafik dari negara Arab datang ke blog aku sekali-sekala. Ishk takkanlah ustaz ni baca blog aku kot. Merapiklah. Dia random je tu.

#7 - kesan autograph jelas kelihatan pada runtuhan
#8 - lagi kesan runtuhan yang telah dirakamkan

"Mana ustaz tau saya ada blog?"

Dalam pada aku cuba menafikan tiba-tiba aku sendiri yang tersalah cakap...pfftt!! (lempang mulut sendiri)

"Apa nama blog awak?"

Masuk jerat sendiri. Padan muke aku.

"Err tak payahla ustaz. Blog saya cap ayam je"

"Blog cap ayam? Blog ape tu?"

Ustaz Zul tergelak.

"Tak, maksud saya blog saya blog picisan je. Buang masa ustaz je baca. Hahaha"

Aku cuba mengelak sebab malu hoi kalau dia baca. Nanti habislah aku kena ceramah tetiap hari.

"Bagitaulah saya apa nama blog tu?"

"Err...BackpackerBusuk"

Aku cakap laju-laju dengan harapan dia tak dengar jawapan aku.

"Ape busuk?"

Hee, buat malu aku je ustaz ni tau.

"Back-pack-er Bu-suk!"

"Ooooooo....Backpacker Busuk. Kenapa guna nama tu?"

"Hehehe...entah!"

"Ok nanti saya nak cari blog tu"

Pitam!

Tiba-tiba aku nampak kelibat Mak Eton keluar dari masjid. Aku nampak Mak Eton tersengih-sengih di sebalik tembok sambil mengeluarkan henpon dari saku baju kurungnya. Aku dah boleh agak tindakan Mak Eton yang seterusnya tapi aku tak boleh buat apa-apa kecuali pasrah.

Ustaz Zul tak perasan apa yang berlaku sebab dia berdiri membelakangi Mak Eton tapi melihatkan reaksi aku yang berubah maka dia pun segera menoleh ke belakang. Serentak itu Mak Eton pun datang dan selepas itu Ustaz Zul pun beredar.

"Korang borak ape tadi?"

Mak Eton tersengih-sengih sambil cuba memancing aku. 

"Takde ape, borak-borak kosong je"

"Eleh yelah tu. Tadi Mak Eton amik gambar kamu dengan Ustaz Zul"

"Tauuuuu...."

Lemah je jawapan aku. Hahaha. Tapi aku tak marah Mak Eton sebab aku tau yang dia cuma bergurau. 

Tak lama kemudian semua jemaah keluar dari masjid menandakan mereka telah siap berihram. Kami semua menaiki bas dan bertolak kembali ke Mekah. Sepanjang perjalanan balik aku hanya memandang ke luar tingkap sebab malu nak bertentang mata dengan Ustaz Zul. Aku rasa mesti balik rumah nanti dia google terus. Dahla post terakhir aku sebelum ke sini cerita pasal Mr. G. Habislah aku!!! *tutup muka*

Tapi yang pastinya selepas tu henfon Mak Eton telah berpindah-pindah ke tangan seluruh ahli keluarga aku termasuklah Mak dan Abah. Aku hanya mampu menahan usikan bila mereka semua bersepakat untuk membahan aku. Dan yang paling tak boleh tahan bila Mak Eton bagitau yang dia nak cuci gambar tu bila balik ke Malaysia nanti. Pfftt!!!


bersambung...
.

Read more...

So This Is The Reason Why I'm Away...

February 05, 2013

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

(Wah tajuk nak omputih aje..kekeke...)

Rupanya dah dua minggu aku tak update kat sini. Sebenarnya aku menghilang sebab pergi meninjau-ninjau ke bahagian selatan China dan utara Vietnam. Kali ni aku layan scene gunung-ganang pulak, lari dari kebiasaan. Perjalanan kali ini dimulakan dari Kunming, lepas tu Yuanyang dan seterusnya masuk ke Vietnam melalui pintu sempadan Hekou - Lao Cai. Dari sempadan aku terus ke Sapa dan akhirnya menamatkan pengembaraan di Hanoi sebelum pulang ke Malaysia.

Trip kali ni agak mencabar terutama dari segi data collection untuk perjalanan dari Yuanyang sampailah border crossing di Hekou - Lao Cai. Kebanyakan info yang diperoleh sangat terhad, bercelaru dan memeningkan sebab route ni tak begitu popular di kalangan traveller. Walaupun banyak halangan tapi syukur alhamdulillah perjalanan ini lancar dan selamat.

Di antara kesemua tempat yang aku singgah, paling favourite ialah Yuanyang. Aku suka tempat ni sebab panoramanya membuatkan aku terlupa yang aku sedang berada di China. Sebelum ini aku cuma berlegar di bandar-bandar besar seperti Beijing, Shanghai, Xian, Chengdu, Guangzhou, Shenzen dan Kunming tapi bila masuk ke kawasan perkampungan maka pengalaman yang aku dapat lebih istimewa. Oklah, cakap banyak pun tak guna so aku biarkan gambar-gambar ini bercerita.

#1 - pantulan awan dan langit dalam petak sawah
#2 -  proof that i'm still slim...heheh!
#3 - petani-petani di Duoyishu
#4 - kemain gigih aku bertahan dalam sejuk sebab nak amik gambar sunrise...alih-alih poofff!!
#5 - sunset yang cantik. lagi bermakna kalau dapat tengok dengan orang tersayang..kekekeke...
#6 - eh salah gambar pulak...next!!!
#7 - pantulan matahari terbenam di permukaan air dalam petak sawah
#8 - nenek-nenek yang perkasa
Banyak peristiwa yang berlaku semasa trip ini yang tak boleh aku lupakan terutamanya :

1 - Hampir terkandas di Kunming sebab tiket bas ke Yuanyang habis
2 - Pergaduhan di antara traveller Eropah dan Malaysia vs. polis China dan traveller China
3 - ATM tak boleh withdraw duit
4 - Terkandas di old town Nansha
5 - Berkongsi bilik dengan stranger
6 - Seorang traveller jatuh dari viewing deck dan bergolek ke dalam petak sawah
7 - Hilang beg yang sarat dengan makanan

#9 - viewing deck (pagoda) di Stone Forest
#10 - pemandangan Stone Forest dari viewing deck
#11 - pemandangan Cat Cat Village dari tempat tinggi

Sebenarnya banyak lagi peristiwa menarik, tragis dan kelakar yang telah berlaku tapi aku tak dapat nak recall sekarang. Gambar pun aku tak sempat nak pilih terutamanya di Kunming, Sapa dan Hanoi so mungkin entry ni nampak macam berat sebelah.

Erm, aku pun tak pasti bila nak publish cerita ni so nanti kita vote lah cerita mana keluar dulu ye. Aku pun pening sebab makin lama makin berderet senarai tertunggak...kekeke...Till then!
.

Read more...

  © Copyright Since 2010 | Backpacker Busuk

Back to TOP